Careline 24 hours
+603-5639 1212
 

Sultan Selangor Stabil Selepas Jalani Pembedahan Lapan Jam (Utusan Malaysia)

SHAH ALAM, 3 Mei 2009- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kini stabil setelah menjalani pembedahan injap jantung selama lapan jam di Pusat Perubatan Universiti Standford, California, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pembedahan yang bermula pukul 11 malam waktu Malaysia (8 pagi waktu AS) itu dijalankan oleh pakar-pakar pusat perubatan berkenaan sehingga pukul 7 pagi waktu Malaysia.
Beliau berkata, baginda telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat berkenaan dan keadaannya kini stabil.
"Alhamdulillah, baginda selamat dan stabil selepas menjalani pembedahan.
"Bagaimanapun, baginda perlu diletakkan di ICU terlebih dahulu untuk pemantauan selanjutnya sebelum dipindahkan ke wad biasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Munir, sepanjang rawatan itu, baginda ditemani Tengku Indera Setia, Tengku Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, doktor pakar dari Sime Darby Medical Centre Subang Jaya, Datuk Dr. Anuar Masdukidan Ahli Dewan Diraja Selangor, Tan Sri Syed Mohd. Yusof Tun Syed Nasir.
Pembedahan tersebut dilakukan oleh dua doktor pakar di pusat perubatan berkenaan iaitu pakar kardiologi Prof. Dr. Alan Yeung dan pakar mitral valve Prof. Dr. Craig Miller.
Munir turut memberitahu baginda dijangka menerima rawatan selama tiga minggu selepas pembedahan tersebut.
"Kalau diikutkan, baginda akan jalani rawatan selama tiga minggu. Namun, ia terpulang kepada keadaan kesihatan baginda selepas proses pembedahan termasuklah rawatan-rawatan susulan," jelas beliau.
Beliau meminta rakyat supaya tidak bimbang sebaliknya mendoakan agar keadaan kesihatan baginda bertambah baik.