MASholidays, Sime Darby Healthcare Jalin Pakatan Dalam Pelancongan Perubatan
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- MASholidays, cabang pelancongan dan perjalanan MAS, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sime Darby Healthcare (SDH), antara penyedia penjagaan kesihatan setempat utama negara, bagi menyediakan pakej surgikal dan pemeriksaan kesihatan perubatan khusus untuk pelancong ke Malaysia.
Mengikut kerjasama itu, SDH akan menawarkan pelbagai pakej khusus seperti pemeriksaan gastroskopi, kolorektum, jantung dan penghadaman (termasuk pembedahan penggantian lutut) kepada MASholidays pada kadar yang menarik.
MASholidays akan menggabungkan pilihan ini ke pakej perjalanannya termasuk semua dan mempromosikannya kepada pelanggan.
Naib Presiden Eksekutif Strategi Komersil MAS Datuk Dr Amin Khan berkata pengembangan MASholidays ke dalam pelancongan perubatan menunjukkan sokongan yang tepat pada masanya bagi Program Transformasi Ekonomi kerajaan yang berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia.
"Dengan rangkaian lebih 100 destinasi di seluruh dunia, MAS sesuai untuk menghubungkan mereka yang ingin mendapatkan rawatan perubatan ke Malaysia, selain daripada memudahkan proses perjalanan pelanggan dan memenuhi keperluan mereka dengan selesa, fleksibiliti dan kemampuan," kata beliau pada majlis menandatangani MoU itu di sini.
Sementara itu, Pengarah Urusan SDH Raja Azlan Shah Raja Azwa berkata kerjasama dengan MASholidays akan membantu meletakkan Malaysia sebagai pilihan destinasi pelancongan perubatan di rantau ini untuk pesakit asing yang menggunakan MAS.